Friday, October 7, 2011

Cinta Sebelum Nikah -VS- Cinta Selepas Nikah


Cinta adalah suatu perasaan yang suci dan indah dan cinta yang tercipta akibat didorong oleh rasa takut kepada ALLAH pastinya akan membawa kebaikan dan kebahagiaan kepada manusia. Sebaliknya pula bagi cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan hasutan syaitan, ianya pasti tidak akan berkekalan selamanya membahagiakan. Mungkin segalanya akan terasa ‘indah’ namun itu semua hanyalah tipu muslihat syaitan semata. Malahan mungkin akan menyebabkan rasa gundah gulana, resah dan akhirnya kecewa. Dan pastinya, cinta yang sejati dan agung tentunya hanyalah untuk ALLAH swt…kerana Dia satu-satunya Pencipta kita yang maha berhak.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman: Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka.” – Riwayat al-Bukhari-
Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak.
Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Namun semuanya itu harus di lakukan mengikut syarat dan batasan-batasan yang tertentu yang telah ditetapkan. Berhubung dengan percintaan sebelum kahwin yang banyak berlaku di banyak negara Islam sebenarnya diambil dari budaya barat, ternyata ia mempunyai lebih banyak kesan negatif berbanding positif.
Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah. Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan. Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.
Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka. Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.

0 comments:

Post a Comment